Antara Pelajaran dan Persatuan

As-salam kepada semua.

Seringkali saya didatangi pelajar yang datang mengadu tentang pelajaran mereka yang terganggu akibat terlalu sibuk dengan aktiviti berpesatuan. Seolah-oleh punca mereka gagal dalam pencapaian akademik adalah disebabkan terlalu sibuk dengan kerja remeh persatuan/kelab sehingga menyebabkan mendapat  keputusan peperiksaan yang kurang memberansangkan. Disebabkan itu, mereka lebih rela ‘menyepi’ dan menjadi ulat buku di dalam bilik.

Pada pendapat saya, perkara ini tidak akan terjadi jika kita berjaya menguruskan masa dengan betul, dan teliti dalam setiap kerja yang dilakukan. Ya, pengurusan masa, dan ketelitian di dalam kerja.

Masalah pengurusan masa diibaratkan kanser yang sukar diubati di kalangan pelajar pada masa kini. Apatah lagi dalam dunia yang serba canggih ini, kanser ini makin merebak dengan meluas. Sekarang kita sudah ada social networking seperti Facebook dan  Twitter yang mempermudahkan komunikasi sesama kenalan. Walau bagaimanapun tanpa disedari, kebanyakan masa habis di sini sahaja, dan menyebabkan kerja lain yang lebih penting tertangguh.

Masalah seperti ’24 jam tidak cukup’, atau ‘saya mempunyai terlampau banyak masa’ atau ‘kerja saya terlalu banyak’ adalah antara masalah pengurusan masa yang paling popular. Apakah puncanya? jawapannya, berpunca daripada SIKAP kita sendiri (attitude).

Datuk Dr. Johnson Tee, seorang pakar motivasi pernah mengatakan “When you are pessimistic, and expect the worst, your attitude is often negative and people tend to avoid you. So inside your head where it all starts, Attitude is a mindset, and it is the way how you look at thing mentally”. Ini benar. Segalanya bermula daripada mindset kita terhadap sesuatu benda yang kita ingin lakukan. Dan mindset itu mencerminkan sikap kita sendiri. Sebagai contoh, jika dari awal lagi kita fikir kita akan gagal dalam sesuatu kerja, maka akhirnya kita akan gagal kerana mindset kita terhadap kerja tersebut sudah diprogramkan untuk gagal. Maka akhirnya gagal lah kita. sebaliknya jika kita sering berfikiran positif terhadap diri sendiri dan orang lain, secara tidak langsung kita telah menunjukkan satu sikap yang positif dan sikap itu akan membantu kita dalam membuat perancangan kerja dengan betul.

Antara punca/sebab utama kepada masalah sikap seseorang individu termasuklah persekitaran kerja yang negatif, perangai orang lain, serta perubahan persekitaran. Sebagai contoh, kawan makan kawan, tiada orang yang menghargai kerja kita, arahan kerja yang tidak jelas, dan sebagainya. Disebabkan hal ini, kita menjadi fed up, dan secara tidak langsung, sikap kita akan berubah kepada negatif, yang akhirnya membawa kepada kelakuan yang negatif juga.

Jadi ingatlah, pengurusan masa yang lemah berpunca daripada sikap negatif kita sendiri. Jika negatif, maka negatiflah juga pengurusan masa kita. Maka, setiap kerja yang hendak dilakukan akan menjadi serba tidak kena, dan sentiasa tidak cukup masa.

Berikut adalah beberapa cadangan saya kepada masalah ini:

1- Perubahan Sikap

Ya, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah untuk mengubah sikap anda sendiri. Sebagai contoh, tanamkan niat untuk mempelajari/membuat sesuatu benda itu dengan IKHLAS kerana ALLAH, keluarga dan untuk kemajuan diri sendiri. Niat “aku buat benda ini kerana Agamaku, keluargaku, dan untuk diriku agar aku boleh berjaya dikemudian hari”. Secara tidak langsung anda telah tunjukkan satu sikap yang positif, yang insyaAllah akan mendorong anda untuk lakukan tugasan tersebut dengan lebih baik.

2- Keutamaan Kerja

Anda perlu membahagikan kerja mengikut keperluan/keutamaan masing-masing. Sebagai contoh, pelajar universiti keutamaan mereka adalah kerja akademik seperti tugasan kuliah, pembentangan dan sebagainya. Jadi, utamakan kerja-kerja itu terlebih dahulu. Jika sudah selesai, baru lah fokus pula kepada kerja-kerja persatuan/aktiviti kelab. Harus ingat di sini, anda perlu bijak dalam membahagikan kerja mengikut masa yang sesuai. Jika perlu, susunlah aktiviti akademik dan persatuan anda dalam bentuk jadual supaya mudah untuk dilaksanakan kelak. Jangan sesekali kita terlalu sibuk persatuan, hingga tidak masuk ke kuliah, atau tidak membuat tugasan yang sudah diberikan pensyarah!

3- Jangan Buang Masa

Umum mengetahui masa itu emas. Sudah tonton filem ‘In-Time’? Filem yang mengisahkan betapa pentingnya masa kepada seseorang itu. Jika tidak guna dengan sebetulnya, maka dia lah yang akan rugi. Islam juga telah menyebut tentang bagaimana ruginya manusia dalam menguruskan masa, kecuali kepada mereka yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan (Surah Al-‘Asr 103:1-3). Antara rahsia pelajar cemerlang adalah mereka menggunakan setiap saat yang ada dengan membuat perkara yang berfaedah. Dalam erti kata lain, SETIAP SAAT ADALAH BERHARGA! Jadi, jangan buang masa. Anda mempunyai banyak tugasan, jadi gunakan sebaik-baiknya masa yang ada untuk laksanakan tugasan tersebut dengan baik dan sempurna. Bagaimana nak pastikan agar masa tidak terbuang begitu sahaja? anda perlu susun kerja tersebut dengan betul, mengikut keperluan dan cuba tentukan samada anda mampu selesaikan tugasan itu untuk hari itu ataupun tidak.

4- Bersikap Realistik

Tidak semua benda kita boleh laksanakan dengan sempurna. Tidak apa. Nobody’s perfect. Begitu juga dalam membaut perancangan kerja. Ianya haruslah realistik. Anda perlu hadiri kuliah, buat tugasan dan sebagainya. Jadi, buatlah sesuatu kerja pada satu hari itu mengikut kemampuan kita. Jika boleh, dalam satu hari itu, at least cuba selesaikan satu tugasan kerja, dan satu tugasan persatuan. Jangan buat semua benda dalam satu hari.

5- Ketelitian dalam kerja dan Fokus

Dalam membuat setiap tugasan, perlu ada ketelitian, dan perlu fokus pada tugasan tersebut. Sebagai contoh, jika anda menghadiri mesyuarat tugasan case study bersama rakan, maka fokus lah sepenuhnya terhadap mesyuarat itu, dan berilah pendapat/idea anda untuk sama-sama menyiapkan tugasan itu dengan sempurna. Jangan fikirkan benda lain. Sudah selesai, buat tugasan yang kedua, iaitu mesyuarat bersama ahli persatuan. Maka, fokuslah minda anda kepada mesyuarat itu, senaraikan apa perkara yang perlu dilaksanakan untuk membuat program2 atau aktiviti kelab. Dalam hal ini, aspek ketelitian perlu anda. Ketelitian termasuklah dalam membuat perancangan dalam melaksanakan tugasan, susun atur fail dan dokumen, serta komunikasi yang betul. Seringkali pelajar GAGAL dari segi ketelitian kerja kerana kurangnya aspek komunikasi dengan betul bersama rakan sepasukan, tidak membuat perancangan yang rapi, dan sebagainya. ini semua berpunca daripada sikap kita sendiri.

6 – Komunikasi yang jelas

Sekali lagi saya tekankan komunikasi merupakan aspek yang penting dalam membuat tugasan. Jika tiada komunikasi, maka tiadalah respon/tindak balas, maka tugasan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Maka, perkara ini perlu diberi perhatian. Jangan sesekali menggunakan orang tengah untuk menyampaikan maklumat. Sebaiknya, berhubung secara terus kepada individu tersebut agar tugasan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

7- Kerja mengikut bidang tugas

Jika anda aktif dalam aktiviti kelab/persatuan, anda perlu tahu apa Job Description tugasan anda. Ianya mestilah releven dengan jawatan yang anda pegang. Sebagai contoh, jika anda seorang presiden kelab, maka kelancaran aktiviti kelab tersebut berada di dalam tanggungjawab anda sepenuhnya. Bukan bermaksud anda akan buat semua benda, tetapi tugasan perlu lah diagihkan mengikut kesesuaian jawatan di dalam persatuan itu. Seorang setiausaha sebagai contoh, akan membuat kerja-kerja berkaitan kesetiausahaan, dokumentasi dan sebagainya. Jika anda tahu apa Job Description anda, maka senang untuk anda lakukan tugasan yang telah diberikan.

Sebenarnya bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum/kelab merupakan satu bonus kepada anda, yang dapat MEMBEZAKAN diri anda dengan orang lain. Contohnya jika anda aktif dalam aktiviti debat, maka anda mempunyai kelebihan di dalam bidang pengucapan awam dan komunikasi, yang mana ianya dapat membantu anda untuk berkomunikasi dengan lebih efektif dengan orang lain kelak. Jika anda aktif dalam berpesatuan, anda akan dapat banyak ganjaran dari segi pemantapan kemahiran insaniah (soft skills) seperti kerja berpasukan, komunikasi secara efektif, meningkatkan nilai kerja, etika dan moral, dan sebagainya. Semua kebaikan ini, kebanyakannya tidak disedari oleh mahasiswa/i masa kini. Sesuatu yang amat merugikan dan mengecewakan.

Jadi janganlah jadikan alasan aktif dalam kokurikulum / berpesatuan menjadikan pencapaian anda semakin merosot. Sebaliknya, lihat, cermin diri anda terlebih dahulu dan tanyakan soalan ini:  bagaimana anda menggunakan masa anda? bagaimana anda bahagikan masa anda untuk membuat perkara yang berfaedah? bagaimana anda tentukan sikap anda? dan bagaimana anda tentukan masa depan anda? Tepuk dada, tanyalah hati, dan selera. 😉

Selamat Maju Jaya.

AMER AZLAN

Leave a comment