Tahu Cari Tak Tahu Guna

  • Masyarakat zaman sekarang boleh dikatakan pandai mencari duit untuk menampung perbelanjaan seharian. Sesetengahnya mempunyai beberapa ‘lubang’ atau pun network yang boleh diguna pakai untuk mendapat pendapatan sampingan. Ada yang sanggup membanting tulang bekerja shift malam, selepas penat bekerja di siang hari. Pagi bekerja sebagai Eksekutif Insurans, malamnya pula bekerja menjaga restoran milik rakan. Semuanya dilakukan demi menampung perbelanjaan harian, menyara anak isteri di rumah. 

  • Sememangnya inisiatif sebegini amat dipuji kerana ianya menandakan kita ini tidak terlalu bergantung kepada orang lain untuk terus survive di dalam dunia yang penuh mencabar dewasa ini. Tambahan pula dengan ketidaktentuan keadaan ekonomi, jelas memberi gambaran betapa keenakan hidup di dunia zaman sekarang tidak sama seperti hidup di zaman dahulu, baik dari segi sosial mahupun ekonomi.

  • Tetapi sedarkan kita, yang kita ini hanya tahu mencari, tetapi tak tahu mengguna? Kita mungkin tahu selok belok mencari ribuan wang ringgit, tetapi adakah kita benar-benar tahu untuk menggunakan wang tersebut? Sedarkah anda bahawa masih ada sesetengah daripada kita masih belum mampu untuk hidup walaupun bergaji lumayan?! Dan perkara ini lah yang menjadi duri dalam kegagalan kita menguruskan wang seharian dengan bijak! 

  • Kegagalan kita untuk merancang kewangan dengan betul akan menyumbang kepada beberapa implikasi negatif. Yang pastinya, emosi seseorang akan terganggu dan dikhuatiri perkara ini akan berlarutan dan memberi kesan jangka masa panjang. Laporan akhbar nasional pernah menyatakan bahawa kos perbelanjaan sara hidup menjadi kerisauan utama mengenai kewangan bagi rakyat Malaysia (Utusan Malaysia, 16 Januari 2010). Ini disokong dengan majoriti 69 peratus yang menyatakan mereka lebih risau memikirkan tentang kos sara hidup yang makin tinggi berbanding memikirkan tentang nilai dana persaraan, portfolio pelaburan, dan kadar pertukaran wang yang berubah-ubah. 

  • Bagi mengelakkan masalah ini, adalah penting untuk kita tahu proses perancangan kewangan yang sebetulnya agar ianya tidak menjadi kerisauan utama kita kelak. Antara proses perancangan kewangan yang harus difahami adalah:

 

1.  Menentukan situasi kewangan kita sekarang

 

Langkah asas ini memerlukan kita menentukan situasi atau keadaan semasa kewangan kita, termasuklah segala jenis perbelanjaan, simpanan, hutang piutang, pelaburan dan sebagainya. Sebagai contoh, Aizam adalah pelajar tahun 3 di salah sebuah IPTS mengambil Ijazah Sarjana Muda jurusan Kewangan dan dijangka bergraduat pada tahun hadapan. Dia bekerja secara separuh masa menjaga kedai makciknya, mempunyai simpanan berjumlah RM3,500 dan mempunyai pinjaman pendidikan berjumlah RM15,000. 

 

 

2.  Menetapkan matlamat kewangan

Sebenarnya, penetapan matlamat (goals) yang jelas adalah tunjang utama kepada kejayaan pengurusan kewangan peribadi kita. Aktiviti ini termasuklah mengenalpasti tentang bagaimana persepsi atau perasaan kita terhadap wang, sama ada ianya berdasarkan daripada pengetahuan ataupun pengaruh daripada orang lain. Adakah keutamaan kewangan anda berdasarkan tekanan sosial, keperluan harian, ataupun memenuhi kehendak sendiri?

Sebagai contoh, Aizam mempunyai beberapa matlamat, termasuklah membayar balik pinjaman pendidikannya, meneruskan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan, dan bekerja di luar negara. Bagaimana pula dengan anda? Sudahkan anda menetapkan matlamat anda?

 

3.  Mengenalpasti tindakan alternatif

Merencana kewangan peribadi serta membuat keputusan memerlukan pelbagai tindakan alternatif. Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada gagalnya perancangan kita. Tindakan alternatif yang bersifat kreatif juga penting dalam membuat sesuatu pemilihan/perancangan.  Contoh mudah, kita memasang niat untuk membeli kereta kerana mudah untuk bergerak ke tempat kerja. Tetapi, kita mungkin boleh memikirkan tentang alternatif lain selain membeli kereta, sebagai contoh, menaiki teksi, pengangkutan awam dan sebagainya, yang lebih jimat.

Selepas bergraduat, Aizam juga mempunyai beberapa alternatif atau pilihan untuk masa depannya. Dia mungkin boleh menyambung pengajian ke peringkat Sarjana secara sambilan, atau bekerja secara sepenuh masa dan menabung untuk menyambung pengajian, atau menyambung pengajian secara sepenuh masa dengan memohon pinjaman pendidikan yang baru.

 

4.  Menilai tindakan alternatif tersebut

Setiap tindakan alternatif yang direncana, haruslah dinilai dengan mengambil kira situasi gaya hidup kita, keadaan semasa ekonomi negara serta keperibadian diri sendiri. Tidak  semua yang dirancang akan kita dapat bulat-bulat. Kita mungkin akan terlepas sesuatu, apabila memilih sesuatu. Sebagai contoh, jika kita memilih untuk menyimpan, kita mungkin terlepas peluang  untuk berbelanja dan memenuhi kehendak diri. Atau, jika kita hendak pergi bercuti, kita mungkin akan terlepas peluang untuk menyimpan.

Dalam kita menilai sesuatu alternatif, haruslah mengambil kira tahap risiko yang akan terlibat, tidak kira samada tinggi atau rendahnya risiko tersebut. Antara risiko yang mungkin terlibat termasuklah risiko inflasi, risiko pendapatan, risiko kadar faedah dan sebagainya. Sebagai contoh, risiko kadar faedah yang tinggi akan menyukarkan Aizam untuk memohon pinjaman pendidikan kerana terpaksa membayar faedah pada kadar yang tinggi. Oleh itu, dia mungkin tidak boleh menyambung pengajian secara sepenuh masa, dan harus memikirkan alternatif yang lain. Harus diingat bahawa setiap alternatif tersebut haruslah dinilai sehingga ianya memberi faedah kepada kita kelak.

 

5.  Membuat dan melaksana pelan tindakan kewangan   

Peringkat ini memerlukan kita untuk menyediakan pelan tindakan kewangan yang kukuh, untuk memenuhi matlamat yang telah ditetapkan sebelumnya. Sebagai contoh, jika sebelum ini anda kaki membeli belah, mungkin anda boleh kurangkan aktiviti tersebut, dan bekerja lebih masa untuk mendapat pendapatan lebih. Jika pelan kewangan ini tidak  dipantau setiap hari, maka kemungkinan anda tidak akan mencapai matlamat yang dihajati. Disini, sikap disiplin diri memainkan peranan penting. Sebagai contoh, Aizam membuat keputusan untuk bekerja sepenuh masa selama 5 tahun dan menyimpan wang untuk menyambung pengajian kelak. Oleh itu, dia telah merencana beberapa pelan kewangan seperti menyimpan RM200 setiap bulan untuk pelajaran, simpanan RM300 untuk kecemasan dan pada masa yang sama memperuntukkan sejumlah wang untuk menghadiri kursus jangka pendek pada hari cuti.

 

6.  Memantau dan menyemak pelan kewangan

Setiap pelaksanaan kewangan haruslah dipantau agar ianya dapat membantu kita mencapai matlamat yang dikehendaki. Ianya harus disemak dari masa ke semasa, sekurang-kurangnya setiap 6 bulan. Situasi luar jangkaan seperti trend hidup, peningkatan arus teknologi, dan perubahan nilai matawang merupakan racun utama yang boleh mengubah pelan tindakan kewangan kita. Oleh itu, amat penting untuk Aizam menyemak dan memantau pelan kewangannya dengan mengambil kira situasi-situasi tersebut agar matlamatnya untuk menyambung pelajaran kelak akan tercapai.

 

Jadi, dimanakah anda? Tahu mencari, tak tahu mengguna, atau tahu mengguna tapi tak tahu mencari? Tepuk dada tanyalah selera.

 

AMER AZLAN

5 thoughts on “Tahu Cari Tak Tahu Guna”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s