Wang & Dilema : Bagaimana Mengatasinya?

 

Assalamualaikum wbt dan salam tahun baru!

 

  • Bagaikan isi dengan kuku, setiap kali menjelmanya tahun baru, pastinya azam dan semangat baru turut lahir di segenap hati masyarakat kita. Ada yang berazam untuk ‘bangun dari tidur’, tingkatkan prestasi kerja, berhenti merokok, dan sebagainya. Bagaimana pula anda di luar sana?
  • Saya pasti, topik mengenai kewangan pasti tidak akan lari daripada minda seseorang apabila memikirkan azam yang hendak di capai setiap tahun. Mungkin ada sesetengah daripada anda sudah memasang azam untuk mengurangkan hutang, atau menjana pendapatan lebih, atau pun merancana kedudukan kewangan yang lebih kukuh. Apa juga azam anda kali ini, saya ucapkan syabas kerana anda sekurang-kurangnya sudah memasang matlamat hidup di tahun baru ini!
  • Irfan Khairi, jutawan Internet Malaysia pernah berkata, di dunia ini hanya 2% daripada golongan dewasa yang menulis matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya. Amat penting untuk mempunyai matlamat hidup, kerana fungsinya sebagai kompas di dalam hidup kita. Hidup tanpa matlamat umpama sesat di dalam hutan, tidak mempunyai arah tuju.
  • Kupasan saya kali ini bukanlah tertumpu kepada matlamat semata-mata, tetapi untuk berkongsi serba sedikit mengenai panduan tentang bagaimana mengurus wang anda lebih-lebih lagi untuk terus survive di dalam dunia yang makin mencabar dewasa ini.

 

  • Perkara asas yang perlu dilakukan dalam mengurus kewangan anda adalah dengan menetapkan bajet, samada dalam bentuk harian, bulanan mahupun tahunan. Ianya memerlukan usaha dan komitmen yang jitu daripada anda sendiri. Contoh paling mudah, Bajet tahunan negara kita yang diumumkan kerajaan setiap tahun, tanda kerajaan serius dalam menguruskan perihal wang negara kita.
  • Bajet yang bagus bukan sahaja dapat membantu anda untuk membuat simpanan, tetapi ianya juga membantu dalam mencapai objektif kita menabung (saving goals). Penetapan bajet ini perlu ada pemantauan. Siapa yang harus memantaunya? Jawapannya anda sendiri! Jika anda sentiasa memantau bajet anda, semestinya objektif anda akan tercapai kelak.
  • Perkara kedua ialah dengan menentukan aliran keluar masuk wang anda. Bagaimana caranya? Pertamanya, tentukan pendapatan bulanan anda. Ini termasuklah gaji, sewa rumah/bangunan daripada hartanah yang anda miliki, dan apa sahaja pendapatan yang anda miliki setiapbulan. Kemudian, tentukan setiap jumlah perbelanjaan anda. Simpan semua bil dan resit perbelanjaan dan apa sahaja yang anda belanjakan setiap bulan, samada dalam bentuk tunai mahupun menggunakan kad kredit. Yang penting, anda mestilah jujur dalam merekod setiap perbelajaan anda.
  • Senaraikan semua perbelanjaan anda dalam tiga kategori iaitu perbelanjaan tetap, perbelanjaan komited serta lain-lain perbelanjaan. Perbelanjaan tetap termasuklah rumah, insurans, cukai, bayaran bulanan kenderaan, yang mana perbelanjaan ini adalah tetap dan tidak berubah setiap bulan.
  • Bil telefon, utiliti, kad kredit, makanan, dan pengangkutan (minyak kereta) adalah sebahagian daripada contoh perbelanjaan komited, yang bermaksud anda mempunyai komitmen bulanan untuk membayar bil-bil tersebut. Manakala lain-lain perbelanjaan termasuklah perbelanjaan sekolah anak-anak, hiburan (wayang, bowling), dan pelbagai gajet IT bermaksud perbelanjaan yang tidak tetap jumlahnya dan boleh dibuang jika perlu. Dengan menyenaraikan setiap perbelanjaan bulanan anda, ianya akan memberi gambaran yang jelas dan padat tentang ke mana perginya wang anda setiap bulan. Tetapi ingat, anda HARUSLAH bersikap JUJUR dalam menentukan perbelanjaan anda!

  • Sebenarnya, tidak ada rahsia dalam menyimpan wang. Anda boleh bezakan sendiri individu yang mempunyai masalah kewangan dengan yang tidak mempunyai masalah sedemikian. Beza kedua individu ini ialah CARA MEREKA BERBELANJA. Seharusnya, jumlah perbelanjaan haruslah KURANG daripada jumlah pendapatan anda. Itu yang membezakan kedua individu ini. Dan itulah disiplin kewangan paling utama yang harus dipegang semua pihak.
  • Sememangnya anda akan menghadapi situasi kewangan yang teruk jika anda berbelanja melebihi pendapatan yang anda terima setiap bulan. Kesannya? Anda akan terima panggilan telefon daripada pihak bank menuntut pembayaran kad kredit, kereta, dan paling menyedihkan, tidak mempunyai wang untuk makan dan minum!
  • Bagaimana cara mengatasi masalah sebegini? Sekarang lihat kembali kepada tahap perbelanjaan bulanan anda. Adakah melebihi tahap yang ditetapkan ataupun tidak? Jika ya, ini lah masanya untuk anda mengurangkan perbelanjaan anda bermula dengan mengurangkan lain-lain perbelanjaan. Anda mempunyai television di rumah, jadi mungkin anda boleh mengurangkan perbelanjaan menonton wayang, atau keluar minum bersama rakan-rakan setiap minggu. Atau kurangkan makan di luar kepada seminggu sekali, berbanding 3 kali seminggu. Cara ini adalah yang paling mudah untuk mengurangkan perbelanjaan.
  • Seterusnya, lihat kepada perbelanjaan komited anda. Mungkin, anda boleh menaiki bas, daripada teksi ke tempat kerja? Umum mengetahui kos menaiki teksi lebih mahal berbanding bas. Atau, mungkin anda boleh kurangkan penggunaan bil telefon setiap bulan? Dan jimatkan penggunakan air dan elektrik, tutup suis selepas gunakan. Perkara-perkara sebegini boleh membantu anda untuk mengurangkan perbelanjaan komited bulanan anda.

  • Sudah menjadi trend masyarakat masa kini, pantang melihat orang lain lebih daripada diri sendiri, walhal diri sendiri tak mampu untuk miliki sesuatu benda tersebut. Sebagai contoh, kita lihat orang lain pakai kereta mewah, kita pun mahu pakai kereta tersebut tanpa memikirkan keupayaan diri sendiri untuk membayarnya! Inilah akibatnya bila berbelanja melebihi pendapatan, lebih-lebih lagi melibatkan perbelanjaan yang memerlukan komitmen yang tetap setiap bulan.
  • Sekiranya perbelanjaan tetap anda melebihi pendapatan bulanan, mungkin anda harus memikirkan untuk melakukan beberapa perubahan gaya hidup kerana jika tidak, anda tidak mampu untuk membuat simpanan bulanan. Mungkin anda boleh tukar kepada kereta yang lebih murah bayaran bulanannya, atau berpindah ke rumah yang lebih kecil, yang mampu untuk anda bayar setiap bulan. Anda harus ingat bahawa tujuan anda membuat bajet adalah untuk membolehkan anda membuat simpanan. Apalah gunanya mempunyai status atau rasa bermegah-megah, jika kocek anda kosong setiap masa.
  • Berapa banyak yang perlu anda belanja dan simpan, bergantung samada anda masih bujang atau sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Peraturan asas ialah anda seharusnya menyimpan sekurang-kurangnya 10 ke 15 peratus daripada pendapatan selepas cukai anda. Sudah tentu, lebih banyak anda menyimpan lebih bagus.
  • Atau, jika anda baru bermula untuk membuat bajet, mungkin anda boleh mencuba kaedah menyimpan 50-30-20 yang diperkenalkan oleh Elizabeth Warren, seorang Professor kewangan daripada Universiti Harvard. Beliau mencadangkan agar perbelanjaan tetap dan komited haruslah merangkumi separuh daripada perbelanjaan anda, 30 peratus pergi ke lain-lain perbelanjaan serta baki 20 peratus lagi ke akaun simpanan anda.
  • Menguruskan wang mungkin menjadi masalah utama harian anda, tetapi tidak salah jika anda mencuba panduan yang telah diberikan demi kebaikan anda sendiri. Ingat, anda mungkin tidak mahu menjadi muflis atau bankrap pada usia yang sangat muda. Jadi, inilah masanya untuk mengubah cara hidup anda kearah yang lebih positif. Mulakan tahun baru anda dengan pengurusan wang yang lebih efisien dan teratur. Saya doakan semoga anda berjaya.

Selamat mencuba!

AMER AZLAN

2 thoughts on “Wang & Dilema : Bagaimana Mengatasinya?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s